Notisbod notis:

Pembelian karya-karya Nurul Syahida kini boleh didapati secara online melalui ejen Mohamed Feroz atau melalui Karangkraf Mall. Setiap pembelian membolehkan anda mendapat tandatangan dan ucapan khas penulis.

Whatsapp/Hubungi: 019-2254910 (Abg Long)
Berikan (nama)(alamat)(nombor telefon)(kuantiti buku)

Friday, October 1, 2010

Cerpen yang Satu Itu

Was a short story I wrote two years ago, I think. Notice no english at all and full bahasa melayu dan tatabahasa lengkap sekali.

Jadi kalau korang ingat aku ni penulis tempelan, meh sini aku bagi pelempang. Aku boleh je menulis macam ni, cuma aku pilih untuk tidak je.

JAM SATU PAGI.
Oleh: Nurul Syahida Kamarudin
           
            Puas Sayd Hadi memikirkannya.
            Dia menari-narikan jemarinya di papan kekunci, menyentuh setiap satu kunci huruf, memikirkan perkataan pertama yang patut ditaip. Tetingkap si skrin komputer masih memaparkan program Microsoft Word yang masih kosong. Sekali dia menekan kunci huruf M dan kemudian memadamkannya semula dan mengeluh. Dia mencuba sekali lagi dan perkataan ‘CERPEN’ terpamer di skrin, namun sekali lagi dia memadamkannya.
            Jam menunjukkan pukul satu pagi.
            Dia sudah mengundurkan diri ke biliknya pada jam lapan setengah malam, meninggalkan meja makan sebaik sahaja dia menghabiskan sepinggan nasi berlaukkan gulai lemak ayam, ikan goreng dan sayur rebus kegemarannya. Dia mengunci pintu biliknya, sempat terlebih dahulu memesan pada ibu supaya memberitahu sekelian keluarga yang dia tidak mahu diganggu dan lantas duduk di hadapan komputer, membuka perisian tersebut.
            Tepat jam sepuluh, Sayd Hadi merasa geram. Dia mula hilang fokus dan mula melayari internet. Dia sempat memperbaharui blog kesayangannya dengan menulis tentang rasa kecewanya akibat tidak mendapat ilham. Malah dia sempat membaca beberapa buah emel yang dihantar oleh teman-teman, kebanyakannya gambar-gambar lucu dan juga tazkirah-tazkirah buat peringatan. Dia sempat juga menyebarkan gambar-gambar lucu tersebut kepada teman-teman yang lain yang mungkin belum melihatnya dan apabila dia hendak mendaftar keluar dari peti masuk emel itu, sesuatu yang ironi bermain di minda. Seringkali dia menyebarkan dan menghantar gambar-gambar dan cerita-cerita lucu yang didapatinya kepada teman-teman yang lain tetapi dia selalu terlupa untuk menyebarkan tazkirah-tazkirah yang diterima, sedangkan ia adalah perkara penting yang sepatutnya disebarkan kepada teman-teman yang lain. Dan tabiat itu mungkin bukan kesilapannya sahaja. Malah ramai lagi yang berbuat demikian, seringkali meletakkan sesuatu berbentuk peringatan itu di tempat kedua. Lantas Sayd Hadi membuka kembali emel-emel berunsur subjek kerohanian yang diterima dan sudah dibaca lantas menyebarkannya kepada alamat-alamat emel sahabat taulan yang lain.
            Tetingkap internetnya kembali ditutup dan dia memberi perhatiannya kembali kepada kerja yang tertangguh.
            Cerpen yang sepatutnya ditulis masih lagi belum dimulakan, dan jam sudah menunjukkan pukul sepuluh empat puluh lima.
            Sayd Hadi ada terfikir untuk menyiapkan satu jalan cerita yang indah. Setelah merujuk kepada banyak contoh, dia ingin sekali menyiapkan satu cerita yang diilhamkan dari tokoh yang disayanginya. Dia ingin menulis sebuah kisah tentang Salahudin Al-Ayubi, pahlawan Islam yang terbilang itu. Sayd Hadi telah lama memikirkan hal ini. Di zaman milenium ini, dia acapkali menjadi saksi kepada kejahilan insan-insan seagama dengannya yang tidak tahu siapakah itu Salahudin Al-Ayubi. Baharu dua minggu lepas dia menepuk dahi apabila adik seorang temannya yang kini belajar di universiti menyangkakan Salahudin itu adalah satu mitos atau cereka dari kitab Seribu Satu Malam yang dikisahkan oleh Shehrazad, permaisuri Khalifah yang terkenal kerana kebijaksanaannya membebaskan diri dari hukuman dan membuatkan sang Khalifah jatuh cinta kepadanya. Disangka Salahudin itu pelayar tujuh benua dari salah satu cerita yang ditulis.
            “Itu Sinbad.” Jawab Sayd Hadi, cuba bersikap rasional.
            “Oh, Salahudin tu lelaki yang dapat pelita jin tu kan?” tanya gadis itu lagi, menggigit jari.
            “Itu Aladin.” Sayd Hadi mengetap bibir.
            “Oh, ha’ah. Terlupa pula. Jadi siapa Salahudin?”
            Bagi mereka yang kenal arif tentang Salahudin akan menganggap Sayd Hadi berbohong. Namun memang benar, masih ramai yang jahil tentang tokoh Islam ini.
             Kerana itu Sayd Hadi berkobar-kobar hendak mengisahkan kehidupan lelaki ini dalam cerpennya. Lalu dia sibuk mencari bahan rujukan untuk menambahkan pengetahuan am yang ada. Buku tulisan Muhammad Al-‘Arusiy Al-Matwiy tentang Salahudin dan Perang Salib dibaca lagi buat kesekian kalinya dengan bersungguh, dan dia mencatat pelbagai nota tentang hero Islam itu. Salahudin Yusuf nama asalnya, dilatih oleh Nurudin Az-Zinki ketika mudanya, dan catatan demi catatan dinukilkan tentang Perang Hittin, tentang pertemuannya dengan Guy De Lusignon, Bailan of Ibelin dan lain-lain. Sayd Hadi juga mencatat kronologi pertempuran hebat Salahudin dengan Richard Qalbu Asad atau lebih dikenali sebagai Richard si Hati Singa. Dia ingin mengingatkan semua orang tentang perjuangan sang mujahid, dan menyedarkan sekalian pembaca tentang ironi sejarah itu. Bayangkanlah, lelaki berbangsa Kurdi dari Tikrit Iraq ini adalah perwira agung yang dikenali di seluruh dunia, namun bangsa Kurdi itu sendiri kini merempat di merata dunia, tidak punya negara dan tanah air sendiri dan seringkali dilabel sebagai pengganas sedangkan mereka hanya mahu agar etnik mereka tidak luput ditelan zaman. Dia ingin sekalian pembaca memikirkannya.
            Namun, sekalipun dia bersusah-payah membina jalan cerita, Sayd Hadi tidak dapat menangkap ruh Salahudin ke dalam karyanya. Tanpa jiwa, cerita itu akan menjadi satu karya kreatif yang biasa. Tiada siapa yang akan terharu membacanya, dan tiada siapa akan menjadikan karya itu satu inspirasi. Maka dia menangguhkan keinginannya itu dan memulakan rangka cerita yang baru.
            Ada juga terfikir di benaknya untuk menulis sebuah karya tentang politik. Sejak dahulu lagi Sayd Hadi sering mempertikaikan polisi Amerika Syarikat selepas peristiwa 11 September 2001 yang lebih berbentuk prejudis dan secara halus menyalahi hukum global dan Undang-undang Antarabangsa. Dia telah memikirkannya. Cerita yang akan ditulisnya adalah tentang sehari dalam hidup George Bush, ucapan-ucapan si presiden yang seringkali tidak masuk akal, caranya menangani masalah-masalah peribadi ahli politik di sekelilingnya seperti Senator Larry Craig yang dituduh cuba melakukan gangguan seksual terhadap seorang lelaki dan nasihat-nasihat sekutu sekufu yang berada di sekelilingnya yang cuba diambil pakai oleh tuan presiden. Sayd Hadi tidak suka dengan polisi Amerika Syarikat yang lebih bertunjangkan pemikiran neo-konservatisme, berpaksikan pemikiran Leo Strauss yang agak agresif itu. Baginya, 11 September hanyalah sebuah alasan untuk menjayakan neo-imperialism terhadap negara-negara lain.
            Dan dia ingin juga mengupas isu rempit dan gejala sosial yang sedang berleluasa. Namun fikirnya, sudah terlalu acapkali tajuk itu dibincangkan namun masih tidak ada jalan penyelesaian. Pembaca tidak akan berminat lagi untuk mencari tauladan yang hanya muncul di atas kertas tetapi tidak punya praktikal. Seketika dia tersenyum sendiri mengingatkan perbualannya dengan si adik yang sedang membaca suratkhabar.
            “Geng rempit yang diberi nama Apache? Aku yakin mereka ni sendiri tidak tahu pun salah-silah sejarah kaum Red Indian tu. Sepatutnya mereka dinamakan ‘Pelesit’ bukan Apache. Baru sesuai.” Ujarnya, separa sinikal.
            “Pelesit itu kan ada hubungkait dengan hantu dan ilmu hitam.” Ujar Sayd Hadi separa bertanya.
            “Hantu, kacang hantu, apalah bezanya.” Dia senyum. Dan Sayd Hadi faham maksud senyumannya.        
            Namun apabila dia cuba mengisahkan semua isu-isu ini untuk dijadikan sebuah karya, ianya sukar untuk dilakukan. Sebuah cerpen itu harus ada jalan cerita dan tauladannya. Dan kebanyakan isu-isu ini tauladannya sama dan punya sifat berulang. Sayd Hadi tidak mahu karyanya bernada klise. Satu idea itu harus diperkembangkan dengan cantik dan punya impak yang hebat. Satu idea tidak patut muncul dengan sewenang-wenangnya dan ditulis di atas kertas dan siap dalam masa lima minit. Segalanya perlu ada ketelitian. Perlu ada informasi dan penulisan yang jitu. Idea adalah satu entiti yang tidak muncul hanya bila seseorang mahu ia datang. Kadang-kadang ia datang dengan sendiri satu demi satu, dan kadang-kala ia muncul sekaligus bagai deruan ombak menghempas ke dalam fikiran. Dan ada masanya ia tidak akan muncul walau bagaimana kita paksa sekalipun. Dan buat Sayd Hadi dia bukan sahaja mahu idea dan perkembangan idea yang baik, malah paling penting sekali adalah mengetahui subjeknya belum pernah dinukil sesiapa. Dia mahu satu keaslian. Dan dia punya sebab dan alasan.
            Apabila Sayd Hadi menerima emel dari Cik Nozita tengahari tadi yang menyarankan agar dia menghantarkan karyanya kepada wanita itu, Sayd Hadi gembira sekali. Mungkin bagi orang lain panggilan itu merupakan satu tugas biasa, namun ini adalah peluang untuknya.
            Sayd Hadi sukakan bidang penulisan. Dia mengagumi sasterawan-sasterawan Asia dan ingin menjadi seperti mereka. Dia sukakan ‘Salina’ karya A.Samad Said. Dia seringkali mengulang baca ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ karya Pak HAMKA. Dia kagum dengan cara penulisan bakat muda Faisal Tehrani dan sering memuji novel ‘Perempuan Politikus Melayu’ tulisan si pemuda. Dan seisi keluarganya telah membaca ‘Ayahanda’ karya Azizi Abdullah, pemenang anugerah sasterawan tahun 1988 itu.
            Dia pernah diberitahu kawan karibnya Quraishin; bahawa ramai penulis-penulis berbakat berasal dari bidang kewartawanan dan penerbitan. Lalu apabila dia tamat pengajian, Sayd Hadi memohon pekerjaan sebagai wartawan di sebuah penerbitan terkemuka. Beberapa minggu selepas itu Sayd Hadi dipanggil temuduga dan dia gembira sekali. Namun rasa gembira itu bersifat sementara. Sebaik sahaja puan dan encik penemuduga membaca biodata peribadinya, mereka mula bertanya.
            “Kamu bukan jurusan Komunikasi Massa?” encik bermisai tebal bertanya.
            “Bukan, tuan. Saya mengambil bidang Sejarah dan Tamadun di universiti. Tetapi saya juga biasa melakukan penyelidikan dalam bidang saya.”
            “Kenapa kamu mahu menjadi jurnalis?”
            “Kerana saya minat menulis, membuat laporan dan semua yang berbentuk kewartawanan, atau penulisan.”
            “Jadi mengapa kamu tidak mengambil bidang Komunikasi Massa di universiti?”
            “Ketika memilih jurusan, saya fikir yang saya mahu tahu tentang apa yang patut saya tulis, bukan sekadar cara saya menulisnya.”
            “Tetapi ini mungkin sukar untuk awak. Kami perlukan seseorang yang mempunyai kelayakan dalam Komunikasi Massa.”
            Justeru kerana sebuah jurusan, dia tidak dapat menunjukkan apatah lagi memperkembangkan bakatnya.
            Dan kini sekali lagi peluang terbuka di hadapan mata. Namun di kala jam menunjukkan pukul satu pagi, dia masih lagi tidak punya material.
            Sayd Hadi bangun dari kerusi dan menggeliat malas. Dia menoleh ke belakang, melihat kucingnya Reus yang datang dari keluarga mamalia jenis Von Patten sedia duduk di atas katilnya, menemani malam yang kosong tanpa sebarang ilham. Lantas Sayd Hadi menghampiri si putih Reus yang setia, mencangkung di hadapan binatang peliharaan tersebut agar sama tinggi rendah mereka dan mula mengusap kepalanya.
            “Bagaimana Reus? Kau ada idea untuk aku?” tanya Sayd Hadi. Si kucing cuma menatap sepasang mata tuannya dan mengiau seolah faham.
            “Kalau aku dapat menulis sebuah cerita ini, aku akan rasa seperti aku berjaya melakukan sesuatu, Reus. Aku akan berjaya membuktikan pada mereka yang skeptikal dengan ijazahku bahawasanya aku ada bakat dalam bidang ini. Aku akan lebih berkeyakinan untuk melakukan lebih banyak lagi. Dan dengan itu aku dapat membantu mak dan abah. Ketika ini aku rasa tak berguna sekali, kerana tidak dapat mencapai impianku dan memberikan kehidupan yang baik buat mereka. Kalau aku berjaya, aku akan dapat mengubah sesuatu, tidak kisahlah kalau pun tak banyak. Paling kurang pun aku dapat menyelesaikan bil eletrik! Aku dapat mengurangkan beban mak dan abah dan akhirnya membanggakan mereka. Oh ya, aku akan dapat belikan kau pek Friskies yang mahal itu juga.” Sayd Hadi sengih pada Reus dan menggaru kepala si kucing.
            Reus mengiau lagi, sementara tuannya mengeluh panjang. Dia buntu.
            “Mungkin aku patut tulis tentang kau, Reus. Biografi seekor kucing yang bernama Reus, yang dijumpai di longkang dan dibela sehingga dia besar dan gemuk. Sebagai balasannya dia akan menunggu tuannya dengan penuh taat setia. Seronok kan, kalau boleh tulis sebuah cerita tentang diri kau sendiri. Mungkin ia lebih…” Sayd Hadi tidak menyudahkan kata-kata. Satu deruan ombak menghimpit akalnya.
            Dia bangun meluru ke arah komputer yang masih terpasang, ke arah papan kekunci yang masih tidak diusik dan skrin komputer yang masih kosong.
            Jam menunjukkan pukul satu setengah pagi.
            Sayd Hadi menarik nafas panjang dan membaca bismilah.
            Dan dia mula menulis. Dan tertera di skrin ayat pertamanya mula kelihatan;
            “Puas Sayd Hadi memikirkannya…”

2 comments:

sil said...

bila novel baru nak keluar ni. tak sabar dah tunggu. option lain, publish short stories banyak2 kat sini pon bole gak :)

Shai Kamarudin said...

haih, tulah, bile nak keluar nih... idea blom mencurah